ekonomi

Penurunan kadar pengangguran beri gambaran positif kepada pelabur

Seorang Penganalisis berkata, penurunan kadar pengangguran pada Jun kepada 3.4 peratus memberi gambaran kepada pelabur bahawa ekonomi Malaysia mempunyai kemampuan daya tahaun.

Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School berkata, pemulihan kadar pengangguran semasa kepada kadar hampir sama dengan sebelum pandemik menunjukkan kemampuan Malaysia untuk pulih dalam masa yang singkat.

Dipetik laporan Utusan katanya, kadar pengangguran pada 2018 dan 2019 adalah pada kadar 3.3 peratus iaitu dibawah 500,000 orang dan perkembangan terbaharu ini memberikan petanda bahawa tenaga buruh negara sudah kembali ke aras sebelum pandemik melanda dunia.

“Sekiranya pelabur asing melihat pencapaian Malaysia, mereka pasti akan merasakan negara kita adalah sebuah negara yang menarik untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Untuk menarik pelaburan asing memerlukan strategi yang jelas dan diselaraskan yang memberi tumpuan kepada mewujudkan persekitaran perniagaan yang menarik, menawarkan insentif, membangunkan tenaga kerja mahir, melabur dalam infrastruktur dan membina hubungan antarabangsa yang kukuh.

“Secara jelasnya, mempunyai tenaga kerja yang mahir adalah antara daya tarikan utama kepada para pelabur,” katanya.

Dr Aimi sebelumnya mengulas pengumuman Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bahawa kadar pengangguran di Malaysia menurun sebanyak 0.1 peratus kepada 3.4 peratus pada Jun 2023 berbanding 3.5 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

Menurutn DOSM bilangan penganggur pada bulan itu juga menurun kepada 581,700 orang berbanding 584,600 orang sebelum itu.

Sementara itu, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff pula berkata, pihaknya menjangkakan kadar pengangguran akan berterusan menurun tetapi dengan kadar yang lebih perlahan.

Jelasnya, ini mengambil kira faktor ekonomi global yang pertumbuhannya semakin perlahan.

“Apabila pertumbuhan ekonomi meningkat positif, ini bermakna berlaku peningkatan aktiviti ekonomi termasuklah perniagaan mengembang dan seterusnya mengambil lebih ramai pekerja, yang seterusnya akan mengurangkan kadar pengangguran.

“Memandangkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun ini adalah positif pada 5.6 peratus, maka memang kadar pengangguran akan turun,” ujarnya.

Dr Ahmed Razman sementar aitu menjangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan kekal meningkat secara positif tetapi lebih rendah dari suku tahun pertama.

“Suku tahun kedua mungkin 4.7 peratus dan keseluruhan 2023 sekitar empat hingga lima peratus,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button