Semasa

Nahas N28JV: Jenazah Johari Harun dijangka disemadikan hari ini

Jenazah Allahyarham Datuk Seri Johari Harun yang terbunuh dalam nahas pesawat ringan di Elmina, Shah Alam akan diserahkan kepada waris pagi ini.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dituntut isterinya di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ampuan Rahimah (HTAR), di Klang, dan dijangka dibawa ke Masjid Jamek Ar-Rahimiah pada jam 10 pagi.

Menurut kenyataan Pejabat Datuk Seri Johari, solat jenazah akan dilakukan di masjid berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari.

Jenazah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang itu kemudian akan dibawa ke Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Fasa 2, Batu Caves, untuk dikebumikan selepas solat Zuhur.

Johari, 53, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelangai antara 10 mangsa tragedi pesawat berkenaan.

Allahyarham antara enam penumpang bersama dua juruterbang pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas ketika dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang.

Media sebelum ini melaporkan, ketokohan dan pengalaman luas dimiliki Johari membolehkan beliau dipilih menjadi sebahagian daripada 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Pahang, walaupun kali pertama bertanding mewakili Barisan Nasional, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Related Articles

Back to top button