Nasional

Iklan pelaburan palsu dikesan guna nama bekas Mufti Selangor

Polis mengesahkan sebuah iklan pelaburan yang menggunakan nama dan gambar bekas Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid adalah palsu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, laporan polis dibuat Mohd Tamyes kira-kira jam 9.43 malam tadi berhubung perkara berkenaan.

“Polis menafikan iklan yang dilaporkan di laman sosial Facebook atas nama Investor City menggunakan nama dan gambar bekas Mufti Selangor.

“Sehubungan itu, iklan terbabit adalah palsu dan tiada kaitan dengan Datuk Mohd Tamyes.

“Laporan polis berkenaan sudah dirujuk kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk siasatan terperinci,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru itu, Hussien menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan iklan di media sosial yang menggunakan individu berpengaruh sebagai imej sesebuah pengiklanan.

“Sikap menyemak kesahihan sesuatu iklan itu amat penting bagi mengelakkan dimanipulasi dan menjadi mangsa penipuan.

“Orang ramai juga diingatkan membuat pelaburan di platform sah dan berdaftar dengan Bank Negara Malaysia (BNM) serta melakukan semakan di laman sesawang BNM bagi menentukan kewujudan sesuatu syarikat pelaburan itu.

“Jika mencurigakan segera menghubungi mana-mana balai polis untuk pertanyaan,” katanya.

Related Articles

Back to top button