Semasa

PeGTaECRL diluluskan, bakal pacu pembangunan sekitar laluan ECRL

Kerajaan bersetuju meluluskan Pelan Induk Bersepadu Guna Tanah Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), atau dikenali sebagai PeGTaECRL.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu dipersetujui Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Ke-42 yang dipengerusikannya semalam.

Sehubungan itu jelasnya, pelan tersebut akan menjadi panduan bagi memacu pembangunan di sekitar 20 stesen dan sepanjang laluan ECRL yang dikenal pasti.

“MPFN menjadi platform bagi kerajaan persekutuan berbincang dengan kerajaan negeri berkaitan hal ehwal perancangan bandar dan desa serta pembangunan fizikal negara, selaras Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Melalui hantaran sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberitahu, mesyuarat sama turut bersetuju dengan penambahbaikan kepada proses kelulusan dalam pembinaan infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik melalui Garis Panduan Petak Pengecasan Kenderaan Elektrik dan Prosedur Pemajuan.

Ia jelasnya selari dengan transformasi industri automotif negara ke arah peralihan masa depan yang lebih mesra alam dan mampan.

“Ketersediaan infrastruktur pengecasan amat penting dalam transformasi sektor automotif ini,” katanya.

Anwar berkata MPFN Ke-42 juga bersetuju dengan keperluan pemakaian Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara oleh agensi persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri serta penterjemahan cadangannya dalam dokumen rancangan tempatan untuk kawalan perancangan dan guna tanah peringkat tempatan.

Related Articles

Back to top button