Politik

Pemimpin muda PN tiada modal politik, terpaksa kitar cerita lama

Pemimpin generasi muda pembangkang dianggap gagal menilai dengan waras prestasi ditonjolkan pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Ketua Komunikasi Amanah negeri Perak, Azhar Rahman berkata begitu sebagai merujuk kenyataan sinis Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang cuba memperlekeh pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mendakwa kerajaan yang terbentuk antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sebagai “kerjasama munafik”.

Tambah Azhar, kenyataan dibuat Wan Ahmad Faysal itu hanya membuktikan kepada rakyat bahawa pembangkang tiada modal politik membina sehingga terpaksa “kitar semula cerita lama” bagi meraih sokongan.

“Walhal kronologi dan proses pembentukan kerajaan telah dijelaskan berulang kali malah PN juga dijemput untuk menganggotai kerajaan tetapi memilih untuk tidak bersetuju titah nasihat Yang Di-Pertuan Agong ketika itu.

“Dia perlu sedar bahawa kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan inilah yang membawa kestabilan politik dalam negara dan berjaya meyakinkan pelabur luar untuk datang melabur. Sebanyak 132.6 billion ringgit pelaburan berjaya dibawa masuk sehingga Jun 2023,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu tambah Azhar, pembangkang terus cuba memperdaya rakyat dengan tohmahan dan persepsi buruk bagi menutup kerja baik yang dilakukan kerajaan termasuk kerja keras perdana menteri dan kabinet yang telah membawa imej yang sangat baik di mata dunia.

“PN yang hanya tahu menyalahkan perdana menteri dalam semua hal.

“Saya nasihatkan Pemuda PN supaya nilai dan kritik kerajaan dengan berpandukan fakta dan bentangkan apa idea kamu. Bukan sembang kosong,” tambahnya.

Sementara itu Azhar turut menggesa pengundi di pilihan raya kecil (PRK) Pelangai agar tidak mudah termakan propaganda dilontar pembangkang.

Beliau berharap pengundi akan dapat menilai kualiti pemimpin dengan melihat rekod kerja dan idea yang dikemukakan.

“Jangan terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan untuk menakut-nakutkan pengundi khususnya orang Melayu

“Jentera PH-BN akan pastikan PN tumbang di Pelangai sebagai isyarat jelas sokongan kepada Kerajaan Perpaduan yang komited menjaga kebajikan dan kemajuan rakyat. Bukan cakap kosong yang diulang-ulang seperti dilakukan Pemuda PN,” kata Azhar lagi.

Related Articles

Back to top button