Parlimen

Malaysia – Indonesia bincang isu keterjaminan makanan, perubahan iklim dalam pertemuan antara Speaker

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul dan Ketua Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI) Puan Maharani Nakshatra Kusyala Devi mengadakan mesyuarat dua hala pada Isnin.

Melalui satu kenyataan, kedua-dua pihak membincangkan usaha memperkukuh hubungan serta kerjasama antara Parlimen ASEAN.

Turut dibincangkan adalah isu perpindahan ibu negara Indonesia, keterjaminan makanan, perubahan iklim dan tenaga boleh baharu.

Johari berkata Malaysia amat menyokong keputusan Indonesia memindahkan ibu negaranya dari Jakarta ke Nusantara kerana ia mampu memperkukuhkan hubungan dan ekonomi kedua-dua negara.

“Ini akan memperkukuhkan hubungan Malaysia dan Indonesia dalam pelbagai bidang seperti komersial, pelancongan, pendidikan dan keterjaminan makanan. Ini akan membawa kita ke era baharu apabila kota ini dibangunkan dengan kaedah tenaga boleh baharu.

“Selain itu, pertukaran ahli akademik, penyelidik dan pemikir dari universiti di Indonesia dan Malaysia boleh memperkukuhkan bidang pendidikan dalam usaha membantu menyelesaikan masalah sekuriti makanan yang sedang melanda dunia,” katanya Johari.

Puan Maharani, wanita pertama dipilih sebagai speaker di DPR RI pada 2019, adalah anak bekas presiden wanita pertama Indonesia Megawati Sukarnoputri dan cucu pengasas Indonesia, Sukarno.

Mesyuarat itu turut dihadiri Duta Besar Republik Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono, Sekretaris Jenderal DPR RI Dr Indra Iskandar, Ahli Parlimen Paya Besar Datuk Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Parlimen Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid.

Sementara itu Johari turut menjelaskan, mesyuarat melibatkan dua negara itu adalah merupakan langkah berterusan Parlimen Malaysia dalam meningkatkan kerjasama pelbagai hala antara Parlimen di negara Asia Tenggara.

Related Articles

Back to top button