Semasa

Mula ‘diserang’ proksi Israel, PM Anwar tegaskan kita tak akan gentar

Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi mendedahkan Malaysia mula dikritik dan ‘diserang’ oleh beberapa kalangan negara Eropah, Amerika Syarikat, dan Israel susulan kelantangan membela hak Palestin mutakhir ini.

Ketika menyampaikan Pidato di Kemuncak Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Arena Axiata di Bukit Jalil malam tadi, perdana menteri bagaimanapun menegaskan, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, beliau selaku ketua kerajaan tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan.

“Negara-negara berkenaan tidak boleh mengugut Malaysia kerana Malaysia sebuah negara merdeka dan berdaulat, serta mempunyai hak untuk menentukan apa yang betul.

“Kami faham apa makna merdeka. Kamu salah pilih orang (Perdana Menteri). Saya tegaskan Malaysia negara bebas dan merdeka.

“Malaysia ini akan kekal sebagai negara berdaulat, yang akan mempertahankan hak dan perjuangan dan kebebasan Palestin,” ujarnya disambut sorokan orang ramai.

Ribuan masyarakat berbilang bangsa dan agama hadir bagi menzahirkan solidariti kepada rakyat Palestin yang berdepan penindasan rejim Israel.

Kebanyakan memakai baju putih, lengkap dengan mafla dan mengibar bendera Palestin, berkumpul di bawah satu bumbung demi satu misi, iaitu mendesak agar Israel menghentikan segera serangan ke atas Palestin.

Ia turut dihadiri oleh ketua-ketua perwakilan negara, pemimpin politik dan jemputan khas, dengan dianggarkan seramai 20 wakil NGO akan menyampaikan ucapan.

“… kita harus berwaspada. Saya beritahu selagi saya diberikan mandat oleh rakyat, saya terima ugutan itu. Lawan tetap lawan,” tambahnya yang turut menegaskan pendirian Malaysia bahawa Palestin perlu merdeka.

Related Articles

Back to top button