Fasa kedua pemasangan peranti Starlink di Sabah dilaksana Januari depan
Kerja-keraja pemasangan unit peranti satelit Starlink fasa dua di Sabah akan dilaksana seawal Januari tahun depan.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD) Fahmi Fadzil berkata pemasangan unit peranti satelit Starlink itu akan melibatkan sembilan lokasi di negeri ini dan salah satunya akan dipasang di Inanam.
“Pemasangan unit Starlink ini dijalankan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan saya minta pasukan pastikan di Inanam cari satu tempat (pemasangan Starlink).
Dua unit satelit Starlink fasa pertama (kini) sedang dipasang iaitu satu di Pensiangan dan Ranau. Saya akan ke Ranau untuk melihat pemasangan unit Starlink,” katanya ketika berucap pada program Kita MADANI di Dewan Pisompuran Kampung Kobuni, Inanam pada Sabtu.
Turut hadir pada program itu ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital Teo Nie Ching, dan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu Datuk Chan Foong Hin.
Sementara itu Fahmi sebagai mengulas program Kita MADANI yang diadakan itu berkata, melaluinya maklumat yang sahih dan benar dapat disampaikan kepada komuniti.
Justeru komuniti MADANI di setiap kawasan Parlimen diwujudkan untuk membantu kerajaan negeri mahupun Persekutuan menyampaikan setiap maklumat yang tepat kepada komuniti.
“Ini penting agar dasar Kerajaan Persekutuan dan negeri dapat disampaikan hingga ke peringkat akar umbi,” tambahnya.