Semasa

Teliti maksud penganjuran Minggu Solidariti Palestin, jangan semberono lempar kritikan

Semua pihak berhenti mempolitikkan isu penganjuran Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan Kementerian Pendidikan (KPM) ketika ini.

Ketua Wanita KEADILAN Pulau Pinang Nurhidayah Che Rose berkata, tujuan program itu diadakan wajar diteliti sewajarnya sebelum kritikan dilempar terhadap KPM dan Menterinya Fadhlina Sidek berhubung penganjuran itu.

Sikap segelintir pemimpin dan ahli politik yang bertindak mengeluarkan kenyataan dengan menggunakan terma-terma berbaur negatif tanpa memahami terlebih dahulu niat sebenar KPM dalam mengambil alih sambutan program sedemikian tegasnya sangat mengecewakan.

“Kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab itu hanya akan membuka jalan kepada sesetengah pihak yang juga tidak bertanggungjawab untuk mempolitikkan isu kemanusiaan ini.

“Harus diingatkan usaha KPM di bawah pimpinan Fadhlina Sidek ini selaras dengan intipati Perlembagaan Parti Keadilan Rakyat khususnya Fasal 5 yang menjelaskan tentang tujuan dan matlamat perjuangan.

“Ia menjelaskan tentang perkara 5.9 iaitu mempertingkatkan kemuliaan insan, nilai keehsanan serta budaya ikram, menegakkan hak asasi manusia, berpegang teguh kepada prinsip integriti dan akauntabiliti dalam bidang ekonomi, politik dan pentadbiran dan lain-lain,” katanya dipetik.

Nurhidayah sementara itu mengingatkan semua pengkritik bahawa kanak-kanak di era kini lebih terdedah kepada isu-isu terkini termasuk isu-isu global, malah tindakan anak-anak Malaysia yang bersolidariti secara virtual untuk Palestin di sebuah platform permainan dalam talian iaitu ‘Roblox’ baru-baru ini juga telah tular.

“Jadi, adilkah sekiranya kerajaan Malaysia melalui KPM hanya mendiamkan diri dalam usaha memupuk semangat dan nilai kemanusiaan yang mekar dalam diri anak-anak bangsa?” soal beliau.

Sehubungan itu, beliau mewakili Wanita KEADILAN Pulau Pinang berpendapat, KPM dan Fadhlina khususnya tidak perlu tunduk dengan gesaan-gesaan agar program itu dibatalkan.

Related Articles

Back to top button