Pengapungan harga ayam bolehkan pasaran bersaing secara sihat – Penganalisis ekonomi
Seorang penganalisis ekonomi melihat rasionalisasi subsidi oleh kerajaan dengan menamatkan subsidi dan kawalan harga ayam berkuatkuasa hari ini sebagai satu langkah positif.
Profesor Madya Dr. Ida Yasin dipetik laporan media berkata, ia langkah tepat dalam mengurangkan ketirisan subsidi yang ketika ini turut dinikmati warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Manakala pengapungan harga harga bahan mentah basah itu yang diimbangi oleh penawaran dan permintaan jelasnya akan membolehkan pasaran kembali bebas dan bersaing secara sihat.
“Itulah yang dikatakan peralihan daripada subsidi untuk semua kepada subsidi bersasar.
“Jadi diharapkan dengan tindakan ini, pasaran ayam akan menjadi lebih cekap kerana ia bergantung kepada permintaan dan penawaran,” katanya dipetik.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada Isnin mengumumkan keputusan kerajaan menamatkan subsidi ayam mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam telah mula stabil, yang menyumbang kepada harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling.
Kerajaan akan memastikan harga jualan bagi ayam yang akan diapungkan terus berada pada kadar yang munasabah.
Sementara itu Ida Yasin berkata, dengan langkah terbaharu itu kerajaan bakal menjimatkan sehingga RM100 juta sebulan dan ia akan membolehkan kerajaan menyalurkan semua peruntukan tersebut kepada kumpulan sasar seperti golongan B40 dan miskin tegar.