Semasa

KPDN akan kekang kartel ambil kesempatan naikkan harga ayam

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memastikan bukan sahaja harga ayam terkawal di peringkat runcit malah di peringkat pengeluaran.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, berkata pihaknya memberi jaminan akan memastikan tiada kartel akan mengambil kesempatan susulan keputusan kerajaan melaksana pengapungan harga ayam.

“Kita akan sentiasa kawal harga ayam bukan sahaja di peringkat runcit menggunakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) serta Akta Perlindungan Pengguna.

“KPDN juga akan melakukan kawalan harga di peringkat pengeluaran menggunakan Akta Persaingan.

“Sekiranya berlaku keadaan di mana ada pakatan atau kartel untuk menaikkan harga di peringkat pengeluaran jadi itu juga boleh diambil tindakan, kita guna akta lain seperti Akta Persaingan untuk memastikan kartel tidak mengambil kesempatan.

“Jika kartel berpakat dan harga itu naik dengan contohnya membabitkan makanan ayam di peringkat pengeluaran, mungkin itu ada kesan di peringkat peruncit dan pengguna. Kita akan lihat di situ dari segi Akta Persaingan,” katanya.

Fuziah berkata begitu selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga ayam di Pasar Awam Kajang, pada Jumaat.

Sementara itu beliau turut mengingatkan peniaga ayam agar tidak mengenakan kos tersembunyi seperti upah untuk memotong ayam.

“Ada juga peniaga yang sebelum ini apabila kita kawal harga, mereka tambah dengan cara lain menerusi kos tersembunyi seperti upah potong. Ini menyalahi jika tidak jelas, upah potong itu boleh tetapi perlu tulis dijelaskan dan dipamerkan,” katanya.

Beliau sementara itu mengingatkan, penguatkuasaan giat dilaksanakan termasuk operasi Ops Samar dimana penguat kuasa KPDN menjalankan pemantauan di lapangan dengan memakai pakaian biasa tanpa mengenakan seragam.

Related Articles

Back to top button