Nasional

Malaysia julung kali tetapkan indikator SDG, pastikan Agenda 2030 tercapai

Malaysia buat pertama kalinya menetapkan sasaran indikator Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Kebangsaan.

Menurut Perdana Menteri, selain indikator SDG, kerajaan turut memuktamadkan sembilan inisiatif bagi mempercepat pencapaian SDG di negara ini.

Melalui satu kenyataan pada Selasa beliau berkata, ia antara perkara yang dimuktamad dalam Mesyuarat Majlis SDG Negara bagi 2023 yang dipengerusikannya bagi memastikan pelaksanaan lebih berkesan ke arah mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030) yang hanya berbaki kira-kira tujuh tahun.

“Mesyuarat turut memutuskan bahawa Pusat SDG Negara (PSN) di bawah Kementerian Ekonomi bertanggungjawab meningkatkan tindakan penyelarasan SDG di peringkat kebangsaan, menambah baik pencapaian SDG negara serta meningkatkan kesedaran dalam pelaksanaan SDG dan penerimagunaan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“(Selain itu) menambah baik struktur tadbir urus SDG Kebangsaan selari dengan fungsi semasa kementerian-kementerian serta memperkasa peranan kementerian-kementerian di peringkat Persekutuan sebagai kementerian peneraju bagi setiap matlamat SDG.

“Sasaran indikator SDG Kebangsaan dan inisiatif itu akan diterjemah dalam Pelan Hala Tuju SDG Fasa 2 yang diterbitkan pada Disember ini,” jelasnya.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Kewangan turut berkata, Kementerian peneraju bertanggungjawab melaksanakan gerak kerja bagi memastikan setiap sasaran SDG dapat dicapai dalam tempoh ditetapkan.

BACA LAGI: Belanjawan 2024: bukti komitmen PM Anwar tingkat pembangunan Sabah, Sarawak

Sehubungan itu, semua wacana dan program anjuran kementerian serta agensi perlu dijajarkan kepada SDG.

“kerajaan sentiasa komited untuk mencapai Agenda 2030 dan akan terus memperkukuh tindakan bagi mencapai 17 SDG.

“Justeru, komitmen semua termasuk Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak berkepentingan lain adalah penting untuk memastikan Malaysia menjadi sebuah negara mampan menjelang 2030,” menurutnya.

Related Articles

Back to top button