Mahkamah

Zuraida minta maaf kepada Saifuddin Nasution susulan kenyataan fitnah

Bekas Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin memohon maaf kepada Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail susulan kenyataan fitnah berhubung isu Tabung Amanah Tok Kenali.

Zuraida, 65, ketika membacakan pernyataan maaf itu di hadapan Hakim Norakhmar Mohd Sani di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa berkata beliau telah melontar beberapa kenyataan terhadap Saifuddin dalam suatu ucapan pada sebuah majlis makan malam di Hotel Renaissance di sini, 8 Dis 2019.

“Atas saman fitnah yang difailkan oleh Datuk Seri Saifuddin Nasution terhadap saya berkaitan dengan ucapan tersebut, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini dengan suatu kenyataan maaf secara terbuka di hadapan mahkamah ini.

“Oleh yang demikian, saya dengan ini menarik balik kenyataan-kenyataan tersebut terhadap Datuk Seri Saifuddin Nasution dan juga memohon maaf kepada beliau,” kata Zuraida.

BACA LAGI: Setiausaha menteri mahu saman individu tuduh main golf di Pebble Beach

Saifuddin yang juga Menteri dalam Negeri sebelum ini menyaman Zuraida kerana mendakwanya menerima berjuta-juta ringgit ketika menguruskan Tabung Amanah Tok Kenali di Kelantan bagi membantu golongan miskin pada 2020.

Saifuddin Nasution, 58, memfailkan saman itu pada 21 Julai 2020 dan mendakwa Zuraida membuat kenyataan fitnah yang membawa maksud antaranya beliau (Saifuddin Nasution) mengamalkan penipuan dan rasuah.

Beliau turut mendakwa Zuraida berniat jahat untuk memburukkan kewibawaan serta imej plaintif sebagai seorang ahli politik, kakitangan awam di kaca mata masyarakat umum, anggota KEADILAN dan penyokong Pakatan Harapan (PH).

Related Articles

Back to top button