Politik

‘Broker politik untuk sokong Anwar tak pernah wujud’ – Ahli Parlimen Jeli

Seorang Ahli Parlimen pembangkang menafikan dakwaan yang mengatakan beliau telah diugut atau disogok untuk menyatakan sokongan terhadap perdana menteri.

Zahari Kechik yang merupakan Ahli Parlimen Jeli menegaskan biarpun menyedari akan ditohmah dengan pelbagai tuduhan, namun tindakan tersebut adalah untuk kepentingan rakyat di kawasan parlimen diwakilinya.

Beliau pada satu sidang media di Pusat Khidmatnya semalam turut menegaskan bahawa tidak wujud broker politik seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak baru-baru ini.

“Tindakan mengalih sokongan kepada Perdana Menteri adalah atas kesedaran saya sendiri. Tiada langsung melibatkan sebarang unsur ugutan atau apa-apa sogokan untuk kepentingan peribadi. Tidak wujud broker politik seperti yang didakwa kerana saya tidak kenal mereka (broker politik).

“Sekiranya saya tidak membuat perkara ini (sokongan), rakyat di Jeli pasti akan ketinggalan dan menderita. Mereka berhak mendapat pembelaan dan peruntukan daripada kerajaan,” katanya.

Terdahulu empat ahli parlimen pembangkang yang kesemuanya dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengalihkan sokongan mereka.

Dipercayai tindakan itu susulan kepimpinan pembangkang gagal mencapai kata sepakat dengan kerajaan berhubung isu peruntukkan.

Selain Zahari, tiga yang lain adalah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

BACA LAGI: Kelemahan Muhyiddin jadi punca 4 ahli parlimen alih sokongan

Minggu lalu, seorang veteren Umno melalui catatan di laman Facebooknya berkata, tindakan empat Ahli Parlimen itu mengalih sokongan berpunca dari kelemahan pengerusi Perikatan Nasional (PN) sendiri.

Tan Sri Shahrir Samad yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Johor Baharu berkata, Muhyiddin Yassin selaku presiden Bersatu menolak menjadi ketua pembangkang sekaligus menyebabkan kepimpinannya dalam Dewan Rakyat tidak dirasai Ahli Parlimen Bersatu.

Related Articles

Back to top button