Semasa

ISWAMI ucap tahniah kepada PM Anwar, puji ketokohan pimpin negara

Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena ulang tahun pertama pentadbirannya.

ISWAMI dalam satu kenyataan berkata, keterampilan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dikenali meluas oleh semua peringkat rakyat Indonesia dan diharap akan menjadi modal besar untuk mengukuhkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia yang terjalin sekian lama.

Badan kewartawanan yang ditubuhkan wartawan senior Indonesia-Malaysia pada 2005 itu turut berkata, pihaknya menyambut baik dasar diterapkan Anwar yang mendukung pembangunan pemikiran kritis dan kebebasan kewartawanan.

BACA LAGI: Pengamal media Malaysia bersolidariti dengan wartawan di Gaza

“Perdana Menteri sentiasa menyokong peranan wartawan bukan sekadar perakam idea, sebaliknya pencetus idea yang berdasarkan nilai.

“Ia sejajar dengan penegasan Anwar semasa Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Ipoh, Perak pada Mei lalu.

“Komitmen dan keyakinan itu memberi ruang kepada wartawan untuk memikul tanggungjawab dan amanah dengan sebaiknya,” kata kenyataan ditandatangani bersama oleh Presiden ISWAMI Indonesia, Asro Kamal Rokan dan Presiden ISWAMI Malaysia, Mokhtar Hussain itu.

Melalui kenyataan itu juga ISWAMI turut menyokong hasrat penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) bagi kawal selia lebih baik serta meningkatkan taraf profesion kewartawanan.

“Penubuhan MMM antaranya boleh membina minda masyarakat yang kental menghadapi ancaman digital mahupun yang berbentuk subversif. Moga ia diutamakan supaya segera menjadi kenyataan.

“Tahniah dan selamat buat Datuk Seri Anwar Ibrahim atas setahun pencapaian memimpin Malaysia. Semoga Allah SWT merahmati Malaysia dan Indonesia,” kata kenyataan itu.

Related Articles

Back to top button