ekonomi

Momentum pertumbuhan ekonomi baik, matawang dijangka mengukuh tahun depan

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menjangkakan kedudukan matawang negara akan mengukuh pada 2024 .

Beliau berkata, pengukuhan nilai matawang ringgit itu bakal dipacu beberapa faktor antaranya termasuklah disiplin fiskal kerajaan dan pertumbuhan ekonomi global yang lebih baik serta ketidaktentuan dasar mata wang Amerika Syarikat (AS) yang semakin mereda.

Melalui satu hantaran di platform ‘X’ pada Rabu, beliau turut menjelaskan prestasi ringgit mesti dilihat dalam perspektif yang lebih meluas dan ia wajar diukur berbanding mata wang lain dan bukannya berbanding dolar AS semata-mata.

Nilai mata wang perlu dibaca dengan petunjuk ekonomi lain iaitu pertumbuhan ekonomi, kadar inflasi, jumlah pelaburan baharu, kadar faedah, kadar pengangguran, tangga gaji dan lain-lain.

“Malah, inilah caranya bank-bank pusat di seluruh dunia mengukur nilai mata wang mereka iaitu perbandingan dengan sekumpulan mata wang utama lain yang berdagang dengan negara itu.

“Majoriti mata wang di dunia menyusut berbanding dolar AS akibat daripada tindakan agresif Rizab Persekutuan AS (Fed) yang menaikkan kadar faedah,” katanya.

BACA LAGI: Malaysia berada dalam kedudukan strategik untuk capai pertumbuhan ekonomi luar biasa

Media sebelum ini melaporkan prestasi ringgit pada suku ketiga 2023 menyusut sebanyak 0.6 peratus berbanding dolar AS dan menurun 0.2 peratus berbanding dolar Singapura.

Bagaimanapun, prestasi ringgit mengukuh sebanyak 2.9 peratus berbanding yen Jepun, lebih baik sebanyak 2.4 peratus berbanding baht Thailand dan pound Britain, rupiah Indonesia (2.0 peratus), won Korea Selatan (1.7 peratus), euro (1.6 peratus), dolar Australia (14 peratus) dan renmimbi China (0.2 peratus).

Sementara itu menurut Rafizi lagi, ekonomi Malaysia tumbuh pada momentum yang baik dari suku ke suku selama tiga suku berturut-turut dengan kadar inflasi adalah terendah sejak 2021.

Related Articles

Back to top button