Nasional

KKM mungkin arah laksana dos penggalak ketiga Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengeluarkan arahan baharu pelaksanaan dos penggalak ketiga vaksin Covid-19.

Ia susulan peningkatan kes baharu yang dilaporkan sejak akhir-akhir ini di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan itu akan melibatkan golongan rentan iaitu pesakit kronik dan warga emas yang lebih berisiko untuk dijangkiti.

“Mungkin sedikit waktu lagi KKM akan keluarkan arahan,” katanya selepas Perhimpunan Bulanan Bersama Warga KKM di Putrajaya pada Khamis.

Menurutnya, setakat ini rakyat Malaysia yang sudah mengambil dos penggalak melebihi 50 peratus manakala dos ketiga masih rendah.

Semalam dilaporkan bahawa jumlah kes Covid-19 meningkat 88 peratus kepada 12,757 kes minggu lalu berbanding 6,796 pada minggu sebelumnya.

Dzulkefly juga berkata, stok vaksin masih lagi mencukupi dan belum tamat tempoh.

“Vaksin yang kita ada masih boleh melindungi orang ramai daripada sebarang varian baharu Covid-19 di luar sana,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memakai pelitup muka di kawasan sesak dan mengamalkan kuarantin kendiri selama lima hari jika didapati positif Covid-19, terutamanya menjelang musim perayaan.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button