Rombakan Kabinet : PM beri isyarat jelas mahu Malaysia jadi negara maju – Penganalisis
Seorang penganalisis menyifatkan rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri sebagai isyarat jelas pentadbirannya sedang memenuhi keperluan untuk memastikan negara terus maju.
“(Rombakan ini) menambahkan kecekapan pentadbiran negara (dengan) tujuan memberi fokus yang lebih khusus agar prestasi (Kabinet) itu dapat dipertingkatkan lagi dengan lebih baik,” kata Prof Madya Awang Azman Awang Pawi di petik laporan Bernama.
Pakar sosiopolitik di Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) itu menambah, matlamat Perdana Menteri untuk meningkatkan kecekapan pentadbirannya dapat dilihat menerusi keputusan memecahkan Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim kepada dua kementerian baharu.
Malah kemasukan muka baharu yang berpengalaman dalam Kabinet juga bakal membawa input segar yang boleh meningkatkan kecekapan pentadbiran negara dan keyakinan pelabur untuk menanam modal.
“Kepakaran mereka ini memang sesuatu yang memberikan impak dan mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap rombakan Kabinet ini,” tambahnya.
BACA LAGI: MADANI bukan sekadar pacu ekonomi, tetapi seni dan budaya Islam juga – PM Anwar
Rombakan Kabinet diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa menyaksikan empat kementerian baharu diwujudkan.
Empat kementerian berkenaan adalah pecahan daripada dua Kementerian sebelum ini iaitu Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) serta Kementerian Komunikasi dan Digital.
NRECC dipecahkan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam serta Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.
Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam akan diterajui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bersama timbalannya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang sebelum ini menjawat jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.
Bagi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, ia akan diterajui Menteri, Nik Nazmi Nik Ahmad bersama Timbalan Menterinya Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Kementerian Komunikasi dan Digital pula menyaksikan pecahan bidang kuasa yang membentuk Kementerian Komunikasi diketuai menterinya, Fahmi Fadzil dan timbalannya, Teo Nie Ching.
Sementara, kementerian Digital pula diterajui Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo sebagai menteri bersama timbalannya Datuk Ugak Anak Kumbong yang sebelum ini Timbalan Menteri Tugas-Tugas Khas dan Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.
Kementerian Wilayah Persekutuan yang sebelum ini dibubarkan dikembalikan dengan Dr Zaliha Mustafa dilantik sebagai menteri, manakala tokoh koporat, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik Menteri Kewangan II.