2023 tahun cemerlang untuk Sarawak, raih pendapatan tertinggi dalam sejarah
Tahun 2023 menjadi tahun cemerlang untuk pentadbiran Negeri Sarawak apabila merekodkan pendapatan tertinggi dalam sejarah sebanyak RM13.1 bilion.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jumlah pendapatan itu telah mengatasi jangkaan awal sebanyak RM12.7 bilion.
“Semasa sesi pembentangan bajet November lepas, saya menyebut jangkaan hasil pendapatan sebanyak RM12.7 bilion.
“Tetapi minggu lepas semasa penutupan akaun untuk Disember 2023 kita mendapati hasil pendapatan sebenar yang kita dapat sepanjang tahun 2023 adalah melebihi RM13 bilion, saya rasa RM13.1 billion kerana kita ada tambahan dividen pada bulan Disember, jadi ini adalah rekod untuk pendapatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Anglican di St Thomas Cathedral Parish Hall di Kuching pada Isnin.
Sementara itu, Abang Johari optimis Sarawak dijangka akan terus menerima pendapatan yang tinggi berdasarkan ‘new revenue engineering’ yang dilakukan kerajaan Sarawak.
Jelasnya ia rermasuk penggubalan beberapa rang undang – undang (RUU) baharu yang akan menjana hasil yang besar kepada Sarawak.
BACA LAGI: Sarawak kukuh kerjasama dengan Persekutuan termasuk sektor tenaga hijau
“Misalnya dasar berkaitan perdagangan karbon melalui RUU Alam Sekitar (Pengurusan Pelepasan Rumah Hijau 2023) RUU Pengagihan gas (Pindaan); RUU Elektrik (Pindaan) dan RUU Ombudsman Sarawak 2023,” jelasnya.
Jumaat lalu Abang Johari mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya.
Kedua-dua pihak selain membincangkan isu kerjasama turut menyentuh antara lain mengenai kerjasama dalam bidang tenaga hijau serta peluang pelaburan baharu yang meningkat di Sarawak dan Semenanjung.