Semasa

Dr Wan Azizah ziarah waris mangsa letupan bunga api

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Rabu hadir menziarahi waris mangsa letupan bunga api di bahagian bumbung sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Isnin lalu.

Dalam kunjungan ke kediaman mangsa di Pangsapuri Seri Perindu, Cheras itu, Dr Wan Azizah yang juga merupakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada waris.

Menurut beliau, pihaknya akan berusaha membantu keluarga mangsa terutama mengenai urusan persekolahan anak mangsa.

“Kita akan tolong apa yang boleh. (Selain sumbangan wang tunai), kita juga bagi bantuan makanan untuk ahli keluarga mangsa selain akan cuba permudahkan urusan persekolahan anak-anak (mangsa),” katanya kepada pemberita.

BACA LAGI: PM Anwar sampaikan sumbangan buat 150 pendukung asal gerakan reformasi

Sementara itu tambahnya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Yayasan Wilayah Persekutuan dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan Zon Bandar Tun Razak turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.

Dalam insiden Isnin lepas, Muhd Helmi Zulkifli, 40, maut manakala adiknya, Muhammad Pahzdlei Zulkifli, 39, cedera akibat terkena serpihan bunga api yang meletup di bumbung bangunan tempat letak kenderaan sebuah hotel di Port Dickson.

Siasatan awal Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negeri Sembilan (JKKPNS) mendapati mangsa bersama tiga rakannya sedang menyiapkan pemasangan bunga api bagi sambutan ambang tahun baharu di hotel terbabit sebelum ia meletup secara tiba-tiba pada 11.50 pagi.

Related Articles

Back to top button