Fadhlina minta sekolah pantau harga makanan di kantin
Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan pihak sekolah supaya melakukan pemantauan terhadap harga makanan yang dijual di kantin sekolah.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, ada sebahagian ibu bapa mendakwa harga makanan yang dijual di premis itu tidak lagi sama seperti sebelum ini.
“Saya minta sekolah ambil tindakan (jika didapati berlaku kenaikan) kerana ia membabitkan kantin dengan sekolah.
“Pengurusan kantin ini membabitkan sekolah, jadi mereka ada hak untuk membuat pemantauan terhadap harga makanan,”katanya.
BACA LAGI: Waspada Covid-19, pemakaian pelitup muka masih digalakkan di sekolah hingga kini
Fadhlina sebelumnya ditemui pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yeong Chang, di Sungai Suloh, Batu Pahat pada Khamis.
Selain itu tambahnya, ibu bapa juga digesa memainkan peranan sekiranya mendapati ada kenaikan harga makanan berlaku di sekolah anak-anak mereka.
Mereka jelasnya boleh terus mengajukan aduan berhubung perkara itu kepada kementerian agar tindakan selanjutnya boleh diambil.
“Dalam hal ini, ibu bapa boleh terus membuat aduan kepada KPM,” tambahnya.
Sementara itu Fadhlina turut meminta pengusaha kantin sekolah merujuk kembali garis panduan ditetapkan oleh KPM berhubung isu kenaikan harga makanan di kantin-kantin sekolah.
Ini kerana katanya, isu harga makanan adalah besar kerana bukan sahaja dengan kontraktor kantin dan juga sekolah, tetapi Kementerian Kesihatan.