KPT akan anjur Jerayawara Kampus Madani ke seluruh negara
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menganjurkan jelajah atau Jerayawara Kampus Madani ke seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, jelajah itu bertujuan untuk mendapatkan pandangan semua pihak dalam merangka Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia yang baharu sekaligus memperkasa hala tuju pendidikan tinggi negara.
“Saya beri masa 12 bulan kepada KPT mengenal pasti tahap pencapaian dan bedah siasat secara menyeluruh masalah yang berlaku dalam institusi pendidikan.
“Dengan cara itu kita akan dapat maklumat tepat sebelum merangka strategi jangka panjang dan memasukkan pelan baharu.
“Saya bersama Timbalan Menteri Pendidikan serta pengurusan tertinggi KPT juga akan turun padang bagi mendapatkan situasi sebenar serta mendengar sendiri keluh kesah pelajar.
“Kita mahu pastikan aspek kebajikan mahasiswa akan dititik beratkan,” katanya.
Dr Zambry berkata demikian ketika berucap pada Majlis Landasan Hala Tuju KPT 2024 di Dewan Tunku Cancelor, Universiti Malaya (UM) pada Jumaat.
BACA LAGI: Mahasiswa, tenaga pengajar dan pentadbir jadi komponen utama pacu IPT
Sementara itu beliau menjelaskan, pelan yang akan dirangka merupakan lanjutan dan kesinambungan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) 2015-2025 yang akan tamat pada tahun depan.
“Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional (NRC) yang ditubuhkan pada tahun lalu sudah memperhalusi dasar semasa dan mengemukakan saranan penambahbaikan bagi tempoh jangka pendek dan sederhana.
“NRC sudah menyediakan landasannya, namun skop dan terma rujukannya tidak termasuk penetapan hala tuju jangka panjang pendidikan tinggi negara,” jelasnya.