Semasa

Suspek dipercayai guna bahan bakar petrol, jadi punca kebakaran rumah Ngeh

Pengesahan awal mendapati bahan bakar yang digunakan suspek kes khianat api di kediaman Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham di Taman Semarak Jaya, Ayer Tawar pada 10 Januari lepas, adalah daripada petrol.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pengesahan itu telah dibuat pihak bomba pada 18 Januari lepas dan pihaknya masih menunggu laporan rasmi daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak.

“Surat laporan rasmi akan dihantar kepada pihak polis dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Yusri berkata, 11 individu telah dirakam keterangan setakat ini bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes kebakaran ini boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-3927837 bagi membantu siasatan polis,” katanya.

Pada 12 Januari 2024, polis menahan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an di Shah Alam, Selangor kerana disyaki melakukan khianat api di kediaman Ngeh dan merampas dua telefon bimbit dalam tangkapan tersebut.

Dalam kejadian awal pagi 10 Januari itu, rumah Ngeh dipercayai dilontar dengan molotov cocktail menyebabkan kebakaran yang memusnahkan sebuah kereta miliknya manakala dua kenderaan lagi mengalami kerosakan.

Related Articles

Back to top button