Pemandu dan penunggang p-hailing nikmati pakej Rahmah serendah RM33, beri manfaat 200,000 pengguna
Pakej khas telekomunikasi serendah RM33 sebulan bagi data minimum 40GB bakal dinikmati oleh 150,000 hingga 200,000 pekerja e-hailing serta p-hailing di seluruh negara bermula hari ini.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, pakej tersebut membuktikan kerjasama baik antara kementeriannya dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan rakan strategik lain.
Katanya, pakej tersebut diwujudkan bagi memastikan kumpulan pekerja-pekerja ekonomi gig tersebut mendapat manfaat dan memenuhi keperluan mereka melalui penawaran pelan dengan harga yang berpatutan.
“Pakej ini adalah bersifat perniagaan kepada perniagaan. Bermaksud sesebuah syarikat p-hailing akan berbincang dengan telco (syarikat telekomunikasi) untuk menyediakan perkhidmatan atau pakej yang sesuai manfaat dengan keperluan penghantar mereka.
“Saya percaya usaha ini dapat membantu penghantar di seluruh negara. Kita harap ini akan menjadi langkah pertama tahun ini diikuti langkah dan pakej yang lain selepas ini,” katanya selepas melancarkan Pakej P-Hailing Rahmah di Angkasapuri Kota Media, hari ini.
Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, tempoh bagi mula langganan berjalan selama sebulan sementara pakej langganan ditawarkan pula berjalan untuk satu tahun.
Insentif Pakej Rahmah ini merupakan penghargaan kepada petugas industri p-hailing dalam usaha menyokong ekonomi digital, sekali gus memastikan perkhidmatan ini sampai kepada semua pengguna di seluruh negara.
Tawaran perkhidmatan internet ini direalisasikan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (Telco) iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM (Unifi Mobile) dan YTL Communications (Yes) serta kerjasama 16 syarikat penyedia platform p-hailing dalam memastikan ketersambungan ketika melaksanakan tugas dengan lebih efisien dan efektif.