Semasa

PM umum peruntukkan RM5 juta kepada Zoo Negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi pembangunan Zoo Negara.

Perkara itu diumumkannya pada ucapan perasmian Sambutan Jubli Intan Ulang Tahun ke-60 Zoo Negara di Dataran Dato’ Ismail Hutson, Zoo Negara yang turut dihadiri isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Melalui satu hantaran di laman Facebooknya sebagai mengulas perkara itu Anwar berkata, ia sebagai dukungan Kerajaan terhadap kelangsungan usaha murni Zoo Negara untuk memelihara perimbang antara manusia, haiwan dan alam sekitar.

“Dalam ucapan, saya tegaskan peri penting infrastruktur seumpama Zoo Negara sebagai pendedahan terkait perimbangan antara manusia, haiwan dan alam sekitar, khususnya buat anak-anak pelajar di sekolah. Perkara ini ditekankan dalam Al-Quran yang menuntut kita memelihara dan memastikan keseimbangan ini tidak dirosakkan.

“Jika bukit-bukau dirobohkan kerana kerakusan manusia atau haiwan dan tumbuh-tumbuhan tidak dipelihara hingga pupus, pasti ia mengundang malapetaka pada manusia.Gagasan MADANI menekankan konsep ihsan, kasih sayang dan manusiawi

“Saya turut sarankan anak-anak dan pelajar yang datang ke Zoo Negara tidak sekadar datang berkelah, sebaliknya kembangkan budaya ilmu dengan membawa buku nota atau gajet untuk mencatat penerangan berkaitan haiwan-haiwan di sini,” jelasnya.

Sambutan Jubli Intan Zoo Negara bersempena memperingati enam dekad penubuhannya.

Merupakan zoo yang pertama di Malaysia, ia diuruskan sepenuhnya oleh Persatuan Zoologikal Malaysia iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang memainkan peranan utama dalam hal ehwal konservasi hidupan liar, penyelidikan, pendidikan dan rekreasi.

BACA LAGI: Kerajaan berhasrat lanjut penempatan panda dari China

Antara antara pencapaian membanggakan Zoo Negara termasuk berjaya membiakkan beberapa spesies haiwan terancam seperti harimau Malaya dan tapir.

Zoo Negara turut menerima pengiktirafan kerajaan China sebagai antara penjaga panda gergasi terbaik dunia susulan usaha konservasi haiwan itu sejak 2014.

“Saya zahir penghargaan pada badan bukan kerajaan yang menguruskan Zoo Negara dengan penuh kecintaan dan memastikan haiwan dan tumbuh-tumbuhan di sini diurus dengan baik sejak puluhan tahun lalu,” tambah Anwar.

Related Articles

Back to top button