KPT tawar konsultasi, peluang lanjut pengajian di acara Hari Terbuka Putrajaya 2024
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menawarkan 24,000 tempat bagi permohonan tawaran terus ke program diploma dan sijil di politeknik atau Kolej Komuniti terpilih.
KPT melalui satu kenyataan berkata, tawaran bagi Sesi II 2023/2024 itu bersempena dengan program Hari Terbuka Putrajaya 2024 (POD2024).
Sehubungan itu, siswazah yang berminat untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi disaran mengambil peluang dari program tersebut.
“Pelajar dan lepasan sekolah yang ingin mendapatkan maklumat untuk melanjutkan pengajian ke menara gading juga dipelawa ke reruai KPT di nombor 16
“Tawaran program penajaan dan bantuan kewangan turut disediakan meliputi 15 program menarik,” kata KPT.
BACA LAGI: PM Anwar gesa KPT bertindak pantas lakukan perubahan dasar pendidikan tinggi
Penganjuran POD2024 diadakan bermula hari ini sehingga 4 Febuari depan di Kompleks Perbadanan Putrajaya.
Ia adalah bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan ke-50 dan Ulang Tahun Perbadanan Putrajaya (PPj) ke-28, dengan objektif menyampaikan maklumat terkini dasar dan perkhidmatan/produk dari kementerian atau agensi kepada pemegang taruh, pelanggan dan rakan strategik serta pengunjung.
Sementara itu jelas KPT, pihaknya turut menyediakan konsultasi program melalui sistem UPUOnline oleh Bahagian Kemasukan Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Melaluinya, pengunjung yang memiliki pengalaman kerja tetapi masih berminat menyambung pengajian di Pemberi Pendidikan Tinggi (PPT) di Malaysia berpeluang mendapatkan konsultasi berkenaan Program Pengkreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (Accreditation of Prior Experiential Learning – APEL) kelolaan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).