Jawatankuasa Teknikal MA63 yang distruktur semula bakal dimuktamad bulan ini – Fadillah
Penstrukturan semula Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (JKTMTPMA63) dijangka dimuktamadkan bulan ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, penyusunan semula itu termasuk mencadangkan kemasukan dua lagi ahli baharu yang akan mewakili Sabah dan Sarawak ke dalam jawatankuasa itu.
Menurutnya, draf memorandum penstrukturan semula itu sudah siap dan ianya akan dibentangkan di dalam mesyuarat Kabinet Persekutuan dalam masa terdekat.
“Inilah yang akan dibawa ke mesyuarat kabinet secepat mungkin dan itulah cadangan dan strukturnya.
“Draf memorandum sudah sedia, cuma untuk dimasukkan dan diedarkan kerana ia melibatkan proses-proses tertentu dan diharapkan ia dapat diselesaikan dalam bulan Februari ini.
“Dalam penstrukturan semula itu kita cadangkan untuk memasukkan wakil dari Sabah iaitu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan wakil Sarawak pula Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang.
“Walaupun saya sendiri (selaku pengerusi jawatankuasa) dari Sarawak tetapi saya memerlukan seorang lagi menteri dari Sarawak untuk duduk dalam jawatankuasa itu dan akan membantu termasuk menjawab di Parlimen ketika ketiadaan saya,” katanya.
Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Ang Pau dan Sumbangan Tahun Baru Cina kepada Warga Emas serta Orang Kelainan Upaya (OKU) kawasan Matang di Dewan SUPP Sungai Tengah di Kuching, hari ini.
Fadillah berkata, penstrukturan semula jawatankuasa teknikal dilakukan berikutan ketiadaan lagi portfolio Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal-Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) yang sebelum ini disandang Datuk Armizan Mohd Ali.
Perundingan isu berbangkit MA63 dilaksanakan dalam tiga peringkat dengan yang tertinggi Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.