Akronim PETRA dipilih bagi penjenamaan semula Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam
Jemaah Menteri yang bermesyuarat pada Rabu telah meluluskan pertukaran nama Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam (KPTDGA) kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Cadangan menamakan semula kementerian itu dibawa oleh Menterinya Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Timbalan Perdana Menteri, bagi menggambarkan peranan dan tanggungjawab kementerian itu dalam usaha transformasi dalam bidang tenaga dan air negara.
“Tujuannya adalah untuk memastikan bahawa aspirasi kerajaan melalui fungsi dan tugas kementerian ini dapat difahami dengan lebih jelas oleh masyarakat umum melalui nama baharu tersebut.
“Sehubungan itu, nama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), akan digunakan secara rasmi ke atas segala urusan berkaitan dengan kementerian,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Difahamkan, akronim PETRA merujuk kepada pemilihan huruf-huruf terpilih yang dikaitkan dengan nama kementerian itu.
Kementerian berkenaan adalah pecahan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim yang kini memfokuskan kepada sektor tenaga dan air di negara ini.