Negeri

Bandaraya Melaka diiktiraf terbersih di Asean

Bandaraya Melaka diiktiraf sebagai bandar terbersih di Asean selepas menerima anugerah ‘Clean Tourist City Standard’ (ACTC) di Vientiane, Laos, 26 Januari lalu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, penganugerahan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) itu secara tidak langsung meningkatkan lagi semangat serta menjadi pemangkin untuk menarik lebih ramai pelancong ke Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Alhamdulillah, MBMB berjaya memenuhi tujuh kriteria yang mengikut piawaian ditetapkan iaitu pengurusan persekitaran, kebersihan, pengurusan sisa sampah, kesedaran perlindungan alam sekitar, kawasan lapang, keselamatan dan kesihatan perbandaran dan terakhir, infrastruktur dan kemudahan pelancongan.

“Pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin bagi menggamit kehadiran pelancong dan merancakkan lagi industri pelancongan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, merasmikan Malam Penghargaan ACTC di Dewan Taming Sari MBMB, di Ayer Keroh.

ACTC dianjurkan khusus untuk ahli negara Asean bertujuan menambah baik aspek serta kualiti pelancongan di bandar masing-masing sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk.

Menurutnya, daripada 13 negeri di negara ini, Melaka, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang berjaya dinobatkan sebagai penerima anugerah itu mewakili Malaysia.

“Pada tahun hadapan, kita perlu bersedia dengan acara terbesar iaitu ‘World Tourism Day’ (WTD) 2025 dan ‘World Tourism Conference’ (WTC) yang menyaksikan Melaka terpilih sebagai tuan rumah mewakili Malaysia.

“Pemilihan ini juga membuktikan bahawa Melaka adalah sebuah negeri pelancongan yang menjadi destinasi pilihan pelancong,” katanya.

Pada 18 November 2023, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, adalah menjadi fokus utama MBMB untuk menjadikan Melaka sebagai bandaraya terbersih dan bebas sampah terutama menjelang TMM 2024.

Related Articles

Back to top button