ekonomi

MIER jangkakan fiskal negara bertambah baik bagi tahun ini

Tinjauan fiskal negara dijangka bertambah baik pada 2024 dengan rangka kerja Ekonomi MADANI meneruskan komitmen untuk mencapai kemampanan fiskal, mensasarkan defisit fiskal di bawah 3.5 peratus menjelang 2030.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) melalui tinjauan ekonomi Malaysia suku keempat 2023 berkata, pengenalan cukai baharu, termasuk cukai keuntungan modal, cukai barang mewah dan cukai minimum global, telah meluaskan asas cukai kerajaan.

Selain itu katanya, pengenalan e-invois bertujuan untuk membendung aktiviti elak cukai dan meningkatkan kecekapan kutipan hasil.

“Dari segi perbelanjaan, perbelanjaan pembangunan dijangka meningkat secara beransur-ansur untuk menyokong pelbagai projek pembangunan, termasuk projek infrastruktur mega oleh kerajaan dan pelancaran 5G di negara ini.

“Sementara itu, perbelanjaan mengurus, yang adalah sebahagian besar daripada perbelanjaan kerajaan, dijangka sederhana pada separuh kedua 2024 berikutan program penyasaran semula subsidi yang beralih daripada subsidi kepada subsidi bahan api yang disasarkan,” katanya.

Memandangkan asas hasil yang semakin meluas dan pengurangan dalam perbelanjaan subsidi, MIER menjangkakan defisit fiskal pada 2024 kepada julat antara 4.3 peratus dan 4.6 peratus.

MIER turut berkata, perangkaan terkini kewangan Kerajaan Persekutuan menunjukkan hasil kerajaan telah meningkat daripada RM72.2 bilion pada suku kedua 2023 kepada RM77.9 bilion pada suku ketiga 2023.

Manakala perbelanjaan mengurus menurun sebanyak RM7.5 bilion daripada suku sebelumnya, mencecah RM69.7 bilion pada suku ketiga 2023.

BACA LAGI: Dapatan sesi libat urus TERAJU perlu dimanfaatkan untuk KEB

“Perbelanjaan pembangunan meningkat sedikit daripada RM17.7 bilion kepada RM19.6 bilion dalam tempoh yang sama.

“Baki keseluruhan pada suku ketiga 2023 mencatatkan defisit sebanyak RM11.5 bilion. Dengan pengurangan berperingkat dalam pembayaran subsidi dan kutipan cukai pendapatan yang lebih baik, Belanjawan 2024 menjangkakan defisit fiskal akan dikurangkan kepada lima peratus pada 2023 berbanding 5.6 peratus pada tahun sebelumnya,” katanya.

Related Articles

Back to top button