Semasa

Hampir 16,000 pili bomba seluruh negara alami kerosakan –

Sebanyak 15,724 daripada 422,472 pili bomba di seluruh negara didapati mengalami kerosakan dan perlu diganti, berdasarkan laporan pemeriksaan dilaksana tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Nor Hisham Mohammad berkata, antara jenis kerosakan yang berlaku ialah pili bomba diturap sama ada menggunakan tar, tanah atau pasir, bocor akibat paip pecah, dihalang atau terkepung dan injap patah, ketat atau tidak berfungsi.

“Terdapat empat jenis kerosakan utama yang memerlukan peruntukan penyelenggaraan yang tinggi iaitu melibatkan saluran pili bomba, injap pili bomba, kehilangan penutup tiang alur keluar, dan juga menaik taraf pili bomba bawah tanah kepada pili bomba bertiang.

“Bagi kerosakan pili bomba yang kecil seperti saluran pili bomba dipenuhi pasir, tanah atau sampah, pegawai bomba yang melakukan pemeriksaan dan ujian akan terus membuat pembersihan bagi memastikan pili bomba bersih dan baik untuk digunakan pada bila-bila masa,” katanya.

Nor Hisham berkata begitu kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 Jabatan Bomba dan Penyampaian Sijil Perkhidmatan 30 Tahun di Ibu Pejabat Bomba Pahang.

Majlis yang turut dihadiri Pengarah Bomba negeri, Wan Mohammad Zaidi Wan Isa itu menyaksikan seramai 78 anggota dan pegawai menerima APC manakala lima lagi menerima sijil penghargaan perkhidmatan 30 tahun.

BACA LAGI: Menteri KPKT arah JBPM uji keberkesanan semua pili bomba

Minggu lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mengarahkan agar pemeriksaan dan ujian keberkesanan pili bomba di seluruh negara dilaksanakan.

Beliau berkata, arahan kepada JBPM itu bagi memastikan kemudahan itu berfungsi dengan baik sekiranya berlaku kebakaran terutama pada musim panas yang melanda negara ketika ini.

Related Articles

Back to top button