Global

Malaysia sertai sesi pendengaran awam terkait isu Palestin di Belanda

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke sesi pendengaran awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan kesan perundangan yang timbul daripada dasar dan amalan Israel terhadap Palestin.

Sesi itu akan berlangsung di Peace Palace, The Hague, Belanda dari 19 hingga 26 Februari 2024.

Mohamad menjelaskan bahawa permohonan bagi mendapatkan pendapat nasihat terhasil daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diterima pakai pada 30 Disember 2022.

“Malaysia telah menyokong dan menaja bersama resolusi berkenaan.

“Pendapat nasihat itu merupakan prosedur berasingan daripada permohonan Afrika Selatan bagi memulakan prosiding terhadap Israel yang telah difailkan di ICJ pada 29 Disember 2023,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, permohonan Afrika Selatan telah difailkan atas dakwaan pencabulan Israel di bawah Konvensyen Genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza khususnya yang berlaku sejak 7 Oktober 2023.

“Prosedur mendapatkan pendapat nasihat ini pula adalah ekoran daripada permohonan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung PBB.

“Pendapat nasihat merupakan satu proses penting bagi memperolehi nasihat perundangan daripada ICJ iaitu badan kehakiman PBB selaras dengan Artikel 96 Piagam PBB dan Artikel 65 Statut ICJ,” jelasnya lagi.

Mohamad berkata, pendapat nasihat memberi impak perundangan dan tanggungjawab moral yang besar serta menyumbang kepada pemahaman dan pembangunan undang-undang antarabangsa yang memangkin keutuhan hubungan di antara negara.

“Penyertaan Malaysia pada sesi ini merupakan kali kedua terlibat secara langsung dalam prosedur mendapatkan Pendapat
Nasihat ICJ bagi menyokong Palestin.

“Pada tahun 2004, Malaysia telah menyertai permohonan mendapatkan Pendapat Nasihat ICJ mengenai Kesan Perundangan Pembinaan Tembok di dalam Wilayah Pendudukan Palestin.

“ICJ telah memutuskan bahawa tindakan Israel adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Related Articles

Back to top button