Umum

LPPSA, UM dan UTM meterai MoU, buka peluang pekerjaan buat para graduan

Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) telah menjalin kerjasama strategik yang signifikan dengan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU).

LPPSA melalui hantaran di Facebook berkata, inisiatif itu tidak hanya bertujuan untuk memperkuat hubungan antara institusi akademik dan industri, tetapi juga memberi penekanan kepada pendedahan praktikal sebelum memasuki alam pekerjaan sebenar, terutamanya dalam penempatan pelajar untuk menjalani Latihan Industri (LI).

Menurutnya, pendedahan praktikal memainkan peranan penting dalam mempersiapkan graduan dengan kemahiran yang relevan untuk menghadapi cabaran di tempat kerja.

“MoU ini menetapkan rangka kerja formal selama tiga tahun, menekankan pada struktur program latihan yang terstruktur dan pengalaman pembelajaran yang mendalam bagi pelatih industri.

“Melalui MoU ini, LPPSA, UM dan UTM berkomitmen untuk menyediakan peluang pendedahan praktikal yang dapat memperkukuhkan keupayaan graduan dan mempersiapkan mereka dengan baik untuk menghadapi cabaran sebenar dalam pasaran kerja global yang dinamik,” katanya.

Tambahnya lagi, inisiatif berkenaan diharap akan memberi dorongan besar kepada graduan untuk melangkah dengan keyakinan dan kecekapan yang diperlukan dalam alam pekerjaan.

LPPSA turut mengalu-alukan institusi pengajian tinggi lain yang berminat untuk turut menyertai kerjasama sebegini, supaya lebih ramai graduan mendapat manfaat yang sama.

Related Articles

Back to top button