Anwar

PM Anwar ucap tahniah kepada Shehbaz Sharif sebagai Perdana Menteri Pakistan baharu

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan tahniah kepada Shehbaz Sharif atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Pakistan baharu.

Menurut satu hantaran di Facebook miliknya, ucapan itu disampaikan menerusi panggilan telefon dengan menzahirkan selamat maju jaya selepas dipilih semula untuk penggal kedua.

“Kami sempat bertukar pandangan dan penghargaan antara satu sama lain selain menopang peluang untuk pertemuan di Pakistan mahu pun jemputan ke Malaysia dalam masa terdekat.

“Saya juga menitipkan sokongan berkaitan agenda pembangunan dirancang Pakistan dan bersedia untuk bekerjasama dalam meningkatkan hubungan dua hala khususnya berkaitan pelaburan serta perdagangan.

“Pakistan turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia di atas kelantangan suara dan mesej berkaitan Palestin selain terkait dengan isu dunia Islam mutakhir ini,” katanya.

Terdahulu, Shehbaz Sharif mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-24 Pakistan untuk penggal kedua.

Pemimpin berusia 72 tahun itu mengangkat sumpah jawatan di Istana Presiden di Islamabad yang diselia oleh Presiden Arif Alvi.

Abangnya yang juga bekas Perdana Menteri, Nawaz Sharif turut hadir pada majlis angkat sumpah itu bersama bekas Presiden, Asif Ali Zardari.

Shehbaz dipilih untuk jawatan tertinggi itu selepas memperoleh 201 undi di Dewan Rakyat untuk menewaskan pesaingnya, Omar Ayub Khan daripada Parti Tehreek-E-Insaf, PTI.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Perdana Menteri antara April 2022 dan Ogos 2023.

Related Articles

Back to top button