Semasa

Pelbagai program dirangka untuk promosi konsep Malaysia Madani

Pelbagai program telah direncana Kementerian Komunikasi bagi memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai pentadbiran Kerajaan Madani.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching pada sidang Dewan Negara semalam berkata, antara program telah dilaksanakan oleh kementerian dalam pelbagai kaedah seperti Kita Madani, Jiwa Madani dan Hebahan Info On Wheels (IOW) yang merupakan program turun padang dan libat urus Jabatan Penerangan (JaPen) bersama komuniti setempat.

“Sebanyak 30 program Jiwa Madani di 32 lokasi turut dilaksanakan di samping program-program lain seperti Kita Madani dan Infiesta Pentarama bagi meningkatkan kefahaman rakyat mengenai mesej dan konsep Malaysia Madani.

“Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) juga secara berterusan menyebar luas konsep Malaysia Madani melalui penyiaran pelbagai bentuk bahan siaran seperti kapsul, pesanan khidmat awam (PKA) dan program bual bicara yang disiarkan dalam pelbagai bahasa, loghat dan dialek bagi memberi kefahaman kepada rakyat, seperti program bual bicara di Selamat Pagi Malaysia, IRIS dan Vasantham (Tamil), ” katanya.

Terdahulu seorang Ahli Dewan Negara, Amir Md Ghazali bertanya soalan berkaitan sejauh mana keberkesanan strategi kementerian dalam menyampaikan kefahaman tentang dasar, agenda dan kejayaan pentadbiran Kerajaan Madani.

BACA LAGI: Majlis Ilmu Madani diperluas di semua kementerian, jabatan kerajaan

Sementara itu Nie Ching memaklumkan, kementerian juga mengadakan penghebahan melalui media sosial dan digital yang melibatkan perkongsian maklumat infografik dan videografik daripada pelbagai kementerian dan agensi-agensi kerajaan di platform media digital RTM, Bernama dan JaPen.

“Kementerian juga mengambil inisiatif untuk melaksanakan 18 pameran yang mengandungi maklumat tentang konsep Malaysia Madani sepanjang 2024 di seluruh negara,” tambahnya.

Nie Ching menjelaskan bahawa usaha secara berterusan akan terus dilaksanakan oleh kerajaan dalam memastikan konsep Malaysia Madani dapat difahami, dihayati dan dibudayakan oleh setiap lapisan masyarakat.

Related Articles

Back to top button