Negeri

AHTV bakal beri impak positif kepada nilai hartanah di Batang Padang, Bidor – MB Perak

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menjangkakan daerah Batang Padang dan Bidor bakal mendapat manfaat langsung dari projek pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjong Malim yang bernilai RM32 bilion.

Berucap pada satu program di Bidor pada Sabtu, beliau berkata limpahan ekonomi daripada aktiviti pembangunan AHTV bukan sahaja dijangka menjana 370,000 peluang pekerjaan sepanjang tempoh pembinaan dan 160,000 apabila beroperasi kelak tetapi juga akan memberi impak positif pada harga dan pembangunan hartanah di kedua-dua daerah tersebut.

Tambah beliau, projek AHTV sudah tentu menuntut ketersediaan unit kediaman yang mencukupi bagi menampung permintaan perumahan dalam jangka masa panjang.

“Selain itu, ia adalah sebahagian daripada aspek penting yang akan mempengaruhi pembangunan sosial masyarakat di kawasan sekitarnya sejajar dengan perkembangan semasa menerusi pelbagai projek yang sedang rancak dilaksanakan di kawasan ini (Bidor),” katanya.

Justeru jelasnya, kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan Hartanah Perak (LPHP) mengambil inisiatif menyediakan projek perumahan baharu bagi menampung permintaan tinggi.

Kerjasama melalui kerjasama awam-swasta turut akan dilaksanakan untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui projek perumahan untuk rakyat.

“Saya dimaklumkan bahawa pembangunan projek perumahan Lakeview Residence@Bidor yang dibangunkan atas tanah milik LPHP telah pun dimulakan pada 20 Okt 2022 membabitkan 64 unit kediaman yang dibangunkan dalam dua fasa dengan 40% daripada keseluruhan unit berkenaan dikhususkan untuk Bumiputera.

“Kerjasama antara pihak LPHP dan Demi Hartajaya ini merupakan satu langkah bagi mewujudkan lebih banyak kawasan perumahan khususnya di kawasan subbandar untuk memberikan lebih banyak pilihan kepada rakyat yang ingin memiliki rumah,” katanya ketika hadir perasmian Projek Perumahan dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Tapak Perumahan Lakeview Residences.

BACA LAGI: Geely bakal bangun AHTV di Perak, hasil lawatan PM ke China

Dalam pada itu beliau menyeru pihak pemaju swasta untuk terus bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui LPHP bagi membangunkan lebih banyak kawasan perumahan di Perak melalui kepelbagaian tawaran perumahan sama ada berkonsepkan rumah mampu milik mahupun dengan tawaran harga yang berpatutan.

Related Articles

Back to top button