Seramai 28,531 calon peperiksaan UPKK 2023 peroleh keputusan cemerlang 8A
Jumlah keseluruhan calon yang menduduki Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 seramai 230,587 dan 28,531 daripadanya memperoleh keputusan Cemerlang (A) bagi kesemua lapan mata pelajaran peperiksaan tersebut.
Antara mata pelajaran tersebut ialah Bidang al-Quran; Jawi dan Khat; Lughatul Quran; Penghayatan Cara Hidup Islam serta Amali Solat.
Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, calon yang memperoleh lulus keseluruhan adalah sebanyak 88 peratus, manakala, pencapaian Gred Purata Skor UPKK secara keseluruhan pula ialah 1.89 mata.
“Gred Purata Skor bagi mata pelajaran al-Quran adalah sebanyak 1.35 mata, Ulum Syariah (2.52 mata); Sirah (2.31 mata); Adab (2.03 mata); Jawi dan Khat (1.97 mata); Lughatul Quran (2.56 mata); Penghayatan Cara Hidup Islam (1.17 mata); serta Amali Solat (1.17 mata).
“Calon yang mendapat 8A adalah sebanyak 12.37 peratus manakala 7A adalah seramai 18,185 calon atau bersamaan 7.89 peratus diikuti 6A berjumlah 19,606 calon iaitu 8.5 peratus.
“Calon yang mendapat 5A adalah seramai 25,697 orang, 4A (28,422 calon), 3A (48,031 calon), 2A (28,460 calon) dan 1A (22,302 calon),” katanya dalam siaran langsung menerusi akaun Facebook rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Tambah Mohd Na’im, jumlah calon yang tidak mendapat sebarang gred A adalah 22,302 orang, manakala, calon yang mendapat semua D adalah seramai 14 orang.
“Keputusan jumlah bilangan gred A yang diperoleh oleh murid adalah menerusi amalan dan cara hidup Islam yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan.
“Harapan kami ialah supaya murid yang mengikuti kelas KAFA ini akan menjadi tonggak dan permata yang akan menyemarakkan lagi syiar Islam pada masa akan datang,” katanya lagi.
Dalam masa sama, semakan boleh dibuat bermula pada 18 April 2024 pada pukul 12.00 tengah hari dan keputusan yang dipaparkan adalah berbentuk rumusan secara umum dan slip keputusan penuh boleh diambil di sekolah masing-masing bermula pada Jumaat, pukul 9.30 pagi.