PH umum calon PRK Kuala Kubu Baharu malam esok
Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calon yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.
Pengumuman itu akan diadakan di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu pada jam 8 malam Rabu ini, berdasarkan jemputan diajukan Pengarah PRK Kuala Kubu Bharu, Ng Sze Han kepada media.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dengan 27 April sebagai hari penamaan calon.
Hari pengundian awal pula ditetapkan pada 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
Kerusi itu diisytiharkan kosong selepas Kee Hiong meninggal dunia pada 21 Mac lalu akibat kanser.
BACA LAGI: Kerajaan MADANI bawa misi politik baik, sederhana
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu, Lee Kee Hiong daripada DAP mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Bharu dengan majoriti 4,119 undi apabila mengalahkan Teoh Kien Hong (GERAKAN), Siva Prakash Ramasamy (MUDA) dan Chang Boon Lai (Parti Rakyat Malaysia).