Kerajaan MADANI lulus peruntukkan beli pam air, bantu petani terjejas di Kelantan
Isu dihadapi golongan petani dan pesawah di Kelantan yang sedang berdepan musim kemarau mendapat perhatian kerajaan.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKT), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Kerajaan MADANI telah meluluskan sejumlah peruntukan untuk membeli pam-pam baharu bagi menyalurkan air ke kawasan pertanian terbabit.
Tanpa mendedahkan jumlah peruntukan itu, Mohamad Sabu berkata, perkara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat khas pembangunan Negeri Kelantan yang diadakan pada Khamis .
“Kita akan usahakan pam-pam untuk para petani dan pesawah membantu mereka,” katanya kepada pemberita di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad baru-baru ini dilapor berkata, cuaca panas susulan fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini dijangka berterusan hingga Julai depan.
Situasi berkenaan menyaksikan beberapa kawasan terutama di Kelantan, Perlis dan Kedah akan mengalami cuaca lebih panas berbanding negeri lain
BACA LAGI: Kerajaan PAS Kelantan ucap terima kasih kepada PM Anwar
Sementara itu, Mohamad Sabu turut memaklumkan, kerajaan akan menyalurkan bantuan kepada petani dan pesawah di Kelantan yang terjejas ekoran cuaca panas yang melanda negeri itu.
Bagaimanapun jelasnya, bantuan akan diberikan bergantung kepada permohonan.
“Cuaca di Kelantan adalah luar biasa dan petani serta pesawah yang mengalami kerugian akan dibantu namun bergantung pada permohonan mereka,” katanya.