Sekolah ditawar pakej internet lebih laju dan murah mulai 1 Julai – Fahmi Fadzil
Kerajaan akan menyediakan pakej khas langganan internet jalur lebar talian tetap berkelajuan tinggi untuk sekolah-sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mulai 1 Julai ini.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pakej khas yang boleh dilanggan melalui pelaksanaan projek Point of Presence (PoP) itu akan menawarkan internet berkelajuan tinggi yang lebih stabil dengan harga lebih murah berbanding talian mudah alih.
“Perinciannya akan diumumkan (nanti), tetapi mulai 1 Julai sekolah di bawah KPM, ada 10,000 sekolah, akan dapat memilih pakej internet lebih laju, lebih murah,” katanya.
Beliau sebelumnya berucap pada program tinjauan PoP di Menara Balimbang, Sekolah Kebangsaan Balimbang, Pulau Bum Bum, di Semporna pada Sabtu.
Fahmi berharap inisiatif baharu itu dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran, serta menerokai gaya hidup baharu yang lebih berkualiti.
Sementara itu tambahnya, kementeriannya turut melihat keperluan bagi menyediakan akses point tambahan seperti wifi tambahan, kerana terdapat kawasan tertentu capaian internet terbabit hanya laju atau sampai sehingga ke bilik guru, pusat sumber sekolah atau makmal komputer sekolah sahaja.
“Bagi sesetengah tempat, sekiranya perlu kita boleh bantu untuk tambah beberapa akses point lain dan saya minta Kementerian Komunikasi serta Kementerian Pendidikan meneliti perkara ini, dan saya sedia untuk membantu,” katanya.
BACA LAGI: Trafik internet di Malaysai catat peningkatan 6 peratus pada suku pertama 2024
Selain itu Fahmi berkata, pelaksanaan projek PoP sekolah luar bandar dan pedalaman seperti Sekolah Kebangsaan Balimbang dijadikan sebagai hab penyediaan infrastruktur jalur lebar gentian optik.
Ia jelasnya bagi membolehkan komuniti sekitar menikmati perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih stabil.