RUU Keselamatan Dalam Talian dijangka dibentang di Parlimen hujung tahun ini
Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian dijangka dibentangkan pada sidang Parlimen selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata, beberapa perkara berkaitan RUU itu sedang diteliti pihaknya selain perlu mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) serta beberapa kementerian lain sebelum dibawa untuk kelulusan Kabinet.
“Kami baru habis mesyuarat ketiga yang dipengerusikan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai RUU itu pada 14 Mei lepas di pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC).
“Setakat ini saya boleh kata kira-kira 60 peratus (siap), draf memang sudah ada…ia akan mengambil sedikit masa…kalau sempat mungkin akan bawa ke Parlimen pada Julai tapi jika tidak sempat kita akan pastikan selewat-lewatnya sidang terakhir (Parlimen) hujung tahun,” katanya selepas menghadiri satu program di Seremban pada Ahad.
Beliau memaklumkan, selepas semua proses itu selesai, ia akan dibawa untuk kelulusan Kabinet sebelum dibawa ke Parlimen.
BACA LAGI: RUU rangka kerja kawal selia progresif CCUS dibawa ke Kabinet
Pada Mac lepas, Teo dilapor berkata Kabinet memutuskan supaya Akta Keselamatan Dalam Talian diwujudkan dan Kementerian Komunikasi serta Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri diarah mengkaji keperluan akta itu.
RUU berkenaan bagi memastikan setiap platform provider atau sedia ada di negara ini mematuhi Prosedur Operasi Standard selain memudahkan pihak berkuasa bekerjasama mendapatkan maklumat dan menjalankan siasatan terhadap sebarang isu berkaitan keselamatan dalam talian.
Selain RUU itu pihaknya juga berhasrat mengemas kini RUU dan akta sedia ada yang berkaitan bagi menambah baik selain menutup sebarang jurang (loophole) yang wujud.