Semasa

Pelakon Nur Azifah hargai sumbangan peribadi PM Anwar

Nasib pelakon drama Istidraj dan Tujuh Warna Pelangi, Nur Azifah Zainon Abidin, 60, yang kini menghidap kanser mendapat perhatian perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, beliau telah menghulurkan sumbangan peribadi bagi membantu meringankan beban kos perubatan Nur Azifah melalui Setiausaha Politik beliau, Ahmad Farhan Fauzi ketika menziarah Nur Azifah menerusi Ziarah Madani di kediaman pelakon itu di Hulu Kelang.

“Saudari Nur Azifah telah menderita sejak tahun lepas akibat kanser payu dara. Pelakon drama Istidraj dan Seindah Tujuh Warna Pelangi ini perlu menjalani rawatan berkala bagi merawat kanser tersebut, namun kos rawatan yang ditanggung amat membebankan.

“Saya mendoakan saudari Nur Azifah dikurniakan keafiatan oleh ALLAH SWT dan beliau diberi kekuatan untuk berdepan dugaan ini,” katanya melalui satu hantaran di laman Facebooknya.

Nur Azifah dipetik laporan media berkata, beliau sudah pun menjalani rawatan kemoterapi sebanyak enam pusingan dan diikuti pembedahan membuang sel kanser di payudara yang dilakukan pada Mac lalu.

Bagaimanapun beliau perlu menjalani rawatan kemoterapi tambahan sebanyak lima pusingan lagi di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan rawatan radioterapi selepas itu.

BACA LAGI: Kepayahan hidup keluarga Azlan dapat perhatian Perdana Menteri

“Saya amat berterima kasih kepada PM di atas keprihatinan beliau menghulurkan sumbangan bagi membantu saya menerusi Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi yang sudi berkunjung ke rumah saya.

“Alhamdulillah, sumbangan dihulurkan itu sangat membantu meringankan bebanan kewangan saya untuk kos rawatan penyakit kanser payudara dihadapi ini. Mohon juga doa ramai agar saya sihat semula ,” katanya dipetik.

Related Articles

Back to top button