Semasa

RUU Suruhanjaya Pekerja Gig dibentangkan ke Parlimen Julai ini – PM Anwar

Rang undang-undang (RUU) berkaitan Suruhanjaya Pekerja Gig bakal dibentangkan di Parlimen Julai ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, langkah tersebut diambil kerajaan selepas mendapat usul daripada golongan belia sebelum ini.

“Baru-baru ini ada usul daripada belia-belia minta supaya adakan Suruhanjaya Pekerja Gig kerana puluhan ribu, malah mencecah 100,000 anak-anak muda (bekerja) dalam (sektor) ekonomi gig.

“Bila kita dengar suara belia, kita cuba bukan sekadar santuni tapi kita laksanakan (permintaan belia). Kerajaan terus (rangka) dan kita telah siapkan undang-undang (Suruhanjaya Pekerja Gig)..

“Insya-Allah boleh dibentangkan di Parlimen pada Julai akan datang,” katanya pada ucapan sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2024 peringkat Kebangsaan di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka pada Sabtu.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

BACA LAGI: Penubuhan Suruhanjaya bukti kerajaan cakna nasib pekerja gig

Dalam perkembangan sama, Anwar mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM3 juta kepada Majlis Belia Malaysia bagi melaksanakan program dan pengurusan kelab-kelab belia seluruh negara.

“Dan untuk (program) Rakan Muda yang menjadi keutamaan, ditambah oleh Kementerian Belia (dan Sukan) dan program belia mesti diberikan keutamaan dan dukungan.

“Jadi saya setuju menyerahkan (perkara) ini kepada Hannah, supaya kita lengkapkan menjadi RM10 juta tahun ini,” katanya.

Related Articles

Back to top button