Semasa

Fahmi bertemu Datuk Bandar Kuala Lumpur, bincang isu berkaitan fenomena iklim

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil telah mengadakan pertemuan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Kamarulzaman Mat Salleh bagi membincangkan beberapa isu berkaitan perubahan iklim.

Melalui hantaran di laman X pada Rabu beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, antara isu dibincangkan adalah berkaitan penyelenggaraan pokok di bandaraya itu.

“Selepas melawat warga Lembah Pantai yang terjejas akibat ribut baru-baru ini, saya bertemu Datuk Kamarulzaman Mat Salleh di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Kami bincang isu perubahan iklim dan peranan Jabatan Pembangunan Landskap Dan Rekreasi DBKL dalam memastikan penyelengaraan pokok di Kuala Lumpur dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Mengulas mengenai perbincangan itu Fahmi memaklumkan DBKL akan menyediakan empat kontraktor bagi setiap kawasan Parlimen untuk kerja-kerja penyelengaraan pokok di Kuala Lumpur.

Selain itu DBKL juga jelasnya berhasrat untuk menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menanam 100 pokok bagi setiap pokok yang ditebang, selaras dengan usaha untuk menghijaukan bandaraya dan Malaysia secara amnya.

Kebelakangan ini, kawasan Pantai Barat semenanjung terutama Lembah Klang sering berdepan hujan lebat serta angin kencang.

Menurut Penyelidik Meteorologi Fakulti Sains dan Sekitaran Sains, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Chung Jing Xiang, kejadian tersebut dipengaruhi fenomena Badai Sumatera yang dibawa dari kepulauan negara jiran terbabit.

Pada 25 Mei lepas, beberapa kawasan di Kuala Lumpur khususnya sekitar Lembah Pantai dan Bangsar dilanda hujan lebat serta angin kencang hingga mengakibatkan insiden pokok tumbang dan bumbung bangunan terbang.

BACA LAGI: KPKT salur peruntukan bantu PBT selenggara pokok

Malah dalam kejadian terbaharu Sabtu lalu, sekurang-kurangnya enam unit rumah Apartment Putra Ria di Bangsar dilapor terjejas selepas bumbung tercabut diterbangkan angin kuat.

Susulan kejadian itu, Fahmi mengumumkan peruntukan RM120,000 bagi kerja membaik pulih baik pulih bumbung Pangsapuri berkenaan.

Related Articles

Back to top button