Politik

PRK Sungai Bakap: KEADILAN Pulau Pinang namakan lima calon

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Pulau Pinang sudah menghantar senarai pendek nama calon untuk dipertimbangkan bagi mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap akan datang.

Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang, Datuk Mohamad Abd Hamid berkata, senarai nama terdiri daripada lelaki dan wanita anak tempatan berusia antara 30 hingga 60 tahun itu diserahkan pada Sabtu untuk dipertimbangkan dan diperhalusi Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Di peringkat pimpinan negeri kita telah menerima cadangan daripada peringkat cabang Nibong Tebal dan senarai pendek telah pun kita hantar kepada pimpinan atasan iaitu di bawah kepimpinan presiden, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipertimbangkan dan diperhalusi.

“Senarai pendek ada beberapa nama, adalah dalam tiga hingga lima orang, jantina dalam senarai pendek itu ada lelaki ada wanita, umur 30-60 tahun,” katanya.

Katanya lagi, misi PH adalah untuk menawan semula kerusi DUN Sungai Bakap, justeru semua pimpinan termasuk jentera Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) sudah bersiap sedia bagi menghadapi PRK kelak.

Beliau percaya dengan kejituan dan perpaduan antara PH dan Barisan Nasional ( BN) negeri, kerusi DUN Sungai Bakap dapat ditawan semula.

PRK Sungai Bakap diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu.

Related Articles

Back to top button