Pilihanraya

Calon KEADILAN wakili Kerajaan Perpaduan pada PRK Sungai Bakap

Calon dari Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan mewakili Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang bagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, secara tradisi kerusi itu ditandingi KEADILAN dan tiada mana-mana parti komponen lain dalam kerajaan menuntut untuk bertanding di kerusi berkenaan.

“Barisan kepimpinan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang telah memutuskan dengan sebulat suara bahawa parti KEADILAN akan menghantar calon.

“Jadi kita akan masuk pertandingan ini atas semangat kebersamaan yang kita sudah jalinkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu,” katanya dalam satu sidang media pada Isnin.

Sebelumnya Kon Yeow menghadiri mesyuarat Kerajaan Perpaduan negeri di Wisma DAP di George Town. turut serta dalam mesyuarat itu adalah Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid selaku Timbalan Pengerusi MPN Pulau Pinang, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Pengerusi AMANAH Pulau Pinang Muhammad Faiz Fadzil.

BACA LAGI: Jentera digerakkan, PH dalam misi untuk tawan semula

Mesyuarat itu membincangkan strategi, gerak kerja, penubuhan jawatankuasa berkaitan termasuk membincangkan isu-isu yang perlu diberi perhatian bermula dari sekarang sehingga bermulanya PRK Sungai Bakap akan datang.

Pada sidang media yang sama Kon Yeow turut mengumumkan Mohamad sebagai Pengarah PRK Sungai Bakap dengan empat lagi nama Timbalan Pengarah PRK yang mewakili semua parti komponen Kerajaan Perpaduan akan dimaklumkan kemudian.

Related Articles

Back to top button