Nasional

Kapal tempur pesisir milik TLDM berjaya diluncurkan, jangka serah pada Ogos 2026

Kapal tempur pesisir (LCS) pertama milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berjaya diluncurkan atas permukaan laut di Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS), Pangkalan TLDM Lumut di Perak, pada 23 Mei lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, proses peluncuran itu dilaksanakan selepas mendapat persetujuan daripada syarikat reka bentuk Naval Groups, selain badan kawal selia kualiti Bureau Veritas serta TLDM sendiri.

Menurutnya, selepas beberapa hari diluncurkan, beliau gembira kerana kapal frigate kelas Maharaja Lela itu terbukti stabil dan juga utuh, selain menepati kemajuan yang dirancang mengikut kontrak.

“Sekarang adalah (memasuki proses) kerja-kerja memasang peralatan, perkakas atas kapal termasuk pemasangan enjin, sistem tempur, sistem komunikasi, meriam dan sebagainya.

“Pada Disember tahun ini akan dilakukan Harbour Acceptance Test (ujian di pelabuhan). Selepas semua perkakas dipasang, maka akan dilakukan Sea Acceptance Trial (ujian di laut).

“Kita akan pastikan kapal ini selamat untuk kelasi dan anggota kerana tugas besarnya dalam soal rondaan, latihan, menjaga kedaulatan negara daripada ancaman, jadi dia mesti dalam keadaan kuat dan kukuh,” katanya pada sidang media selepas meninjau kapal LCS pertama itu sempena lawatan kerja beliau ke Pangkalan TLDM Lumut, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, kapal LCS pertama itu dijangka akan diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2026.

“Kita gembira kerana kapal LCS pertama ini mengikut perancangan yang ditetapkan iaitu pada Mei tahun ni sewajarnya melalui proses diluncur ke air,” katanya.

Related Articles

Back to top button