PRK Sungai Bakap medan penting sekat ‘gelombang pembangkang’ – Adam Adli
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap merupakan pilihan raya penting untuk parti dalam Kerajaan Perpaduan menyekat kemaraan ‘gelombang hijau’ dibawakan pembangkang.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Adam Adli Abd Halim berkata, berbanding PRK Kuala Kubu Bharu, PRK Sungai Bakap adalah usaha untuk merampas kembali kerusi itu yang dirampas Perikatan Nasional (PN).
“Kemenangan di Sungai Bakap nanti bakal menjadi kemenangan pertama yang membabitkan usaha merampas kembali kerusi yang pernah dikuasai oleh Kerajaan Perpaduan sebelum ini, sebab itu penting bagi Sungai Bakap menjadi satu manifestasi kebangkitan semula.
“Ini bukan soal hanya menang pilihan raya tetapi juga mengembalikan keyakinan rakyat secara keseluruhan kepada hala tuju ditetapkan oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.
“Saya yakin pemahaman rakyat dari sudut isu negeri terutama sekali kebajikan serta hala tuju negara yang lebih jelas itu menjadikan rakyat lebih yakin, dan percaya bahawa kita boleh bawa semangat dan pendekatan yang sama di Sungai Bakap,” katanya selepas menghadiri pertemuan bersama jentera sayap pemuda parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan di Nibong Tebal.
Dalam pada itu, Adam Adli berkata pihaknya akan mengemaskini jentera dan menyusun kerja-kerja penyelarasan bagi menghadapi PRK Sungai Bakap.
“Ini adalah untuk memastikan kempen yang kita jalankan secara bersama (gabungan PH dan BN) kali ini akan memberi kesan dan paling penting sasaran pengundi muda dapat dkembalikan,” katanya.
BACA LAGI: Kerajaan Madani terbuka terima pandangan, kritikan daripada mana-mana pihak
PRK Sungai Bakap diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya Nor Zamri Latiff meninggal dunia pada 24 Mei lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat pada 6 Jun ini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting bagi proses pilihan raya di DUN itu.