Negeri

Tun Dr Mohd Ali angkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Melaka bagi penggal kedua

Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam mengangkat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertua Negeri untuk penggal kedua, hari ini.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan berlangsung di Balai Istiadat, Seri Negeri, Ayer Keroh di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi 1, Datuk Anselm Charles Fernandis dan Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salhah Salleh yang menjalankan tugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

Turut hadir ialah Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Hakim Mahkamah Tinggi 2, Mohd Radzi Abdul Hamid dan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril.

Pada 28 Mei lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Mohd Ali sebagai Yang di-Pertua Negeri Melaka bagi penggal kedua, bermula 4 Jun 2024.

Istiadat pengurniaan itu berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara yang turut disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau akan menjawat jawatan itu bagi tempoh empat tahun.

Mohd Ali, 75, sebelum ini dilantik ke jawatan berkenaan pada 4 Jun 2020 menggantikan Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Mohd Ali berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Sastera dan Sains dari Universiti Malaya (UM) pernah menyandang jawatan Timbalan Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Pengangkutan serta Ahli Parlimen Batu Berendam sejak 1995 hingga 1999 sebelum dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka ke-9 dari 1999 hingga 2013.

Related Articles

Back to top button