PM Anwar gesa AS bertindak lebih tegas terhadap Israel

Malaysia menuntut Amerika Syarikat (AS) bertindak tegas terhadap sikap degil dan angkuh rejim Israel yang menyebabkan kesengsaraan berterusan ke atas rakyat Gaza.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gesaan itu selari sokongan Malaysia terhadap cadangan Qatar, Mesir dan AS berhubung perjanjian gencatan senjata berkekalan antara Israel dan Hamas.
“Berkaitan dengan cadangan oleh Presiden AS Joe Biden bersama Qatar dan Mesir, kami telah membincangkan isu ini di Kabinet pagi ini (Rabu), dan kami menyokong inisiatif daripada ketiga-tiga negara tersebut.
“Kami merasakan ini adalah cadangan yang munasabah untuk menjamin gencatan senjata segera dan diharapkan untuk keamanan yang kekal termasuk penyelesaian secara baik kepada konflik yang telah berlarutan selama beberapa dekad.” katanya kepada pemberita ketika ditemui pemberita selepas satu program di Putrajaya pada Rabu.
BACA LAGI: Lebih sejuta rakyat Palestin diarah pindah secara paksa – UNRWA
Media antarabangsa pada 2 Jun lalu melaporkan pengantara gencatan senjata Qatar, Mesir dan AS menyeru Israel dan Hamas untuk memuktamadkan perjanjian yang merangkumi prinsip yang digariskan oleh AS untuk gencatan senjata yang berkekalan.
Negara pengantara itu turut menekankan bahawa “perjanjian itu menawarkan jalan baharu untuk gencatan senjata kekal dan menamatkan krisis.”
Setakat ini, lebih 36,000 rakyat Palestin telah terbunuh di Gaza susulanpeperangan yang bermula pada 7 Oktober tahun lepas.



